PROGRAM TERKINI!

Thursday, May 23, 2013

Bagaimana Menjadi Ibu Bapa dan Pelajar Cemerlang



BERDOALAH untuk melahirkan pelajar cemerlang berdasarkan beberapa konsep asas yang telah dicatatkan melalui bab terdahulu. Amalan ini – sebenarnya – membawa manusia kembali kepada fitrah asal iaitu kebergantungan kepada Allah SWT. Dialah yang Maha Berkuasa di atas segalanya.

Perasaan kasih-sayang ibu bapa dan keinginan mahu anak-anak berjaya dengan cemerlang boleh membawa mereka lebih hampir kepadaNya. Permohonan atau doa ibu bapa kepada Allah SWT agar anak-anak menjadi pelajar cemerlang mencakupi soal akademik dan bukan akademik. Malah ia perlu diteraskan kepada dua asas penting bagi mereka yang percayakan Allah SWT iaitu, rukun Islam dan Iman.

Itulah – berdoa – merupakan salah satu peranan utama ibu bapa yang sering diabaikan. Bukankah Baginda SAW pernah menyatakan,

Ada tiga doa yang diterima oleh Allah secara langsung iaitu doa orang yang dianiaya, doa seorang musafir dan doa orang tua terhadap anaknya.

(Hadis ini direkodkan oleh Iman Tarmidzi, Ahmad dan Abu Daud)

Bayangkanlah jika hampir setiap hari – mungkin lima kali sehari – kita memohon kepadaNya,

Ya Allah ya Tuhan kami, ampunkanlah dosa-dosa anak-anak kami. Ya Allah, jadikanlah anak-anak kami sebagai anak yang soleh dan solehah, anak-anak yang tahu menghormati kedua orang ibu bapa, adik-beradik, guru-guru, kaum keluarga dan muslimin dan muslimat.

Ya Allah, jadikan anak perempuan kami sebagai anak yang mahu menutup aurat dengan sempurna, anak lelaki kami mahu solat berjemaah di masjid, tidak menduakan Mu, mahu melakukan amal ibadat wajib dan sunat dan sentiasa meninggalkan apa yang dilarang.

Ya Allah ya Tuhan kami, pancarkan kasih sayangMu, terangkanlah hatinya, kuatkanlah daya ingatannya, mudahkan pemahamannya dan lembutkanlah tutur katanya dan berikanlah kejayaan cemerlang di sisi Mu dalam proses mereka mencari ilmu. Berikanlah ilmu bermanfaat kepada mereka. Ya Allah, anugerahkanlah kejayaan di dunia dan akhirat.

Ya Allah kumpulkan kami semua di syurga Mu ya Allah.   

Allah Maha Mendengar. Bayangkanlah bagaimana jika ibu bapa sedang bermusafir dan berjauhan dengan kaum keluarga lalu mendoakan kejayaan anak-anak. Ia ingatan yang bermanfaat. Berdoa perlu dijadikan amalan harian kedua-dua ibu bapa yang mengharapkan kejayaan anak-anak. Ia boleh dilakukan hatta ketika bermusafir. Doa-doa ini tentu sekali tidak memerlukan modal wang ringgit tetapi lebih kepada rasa cinta, kasih sayang bersandarkan kepada kekuasaan dan kehebatan Allah SWT.

Dalam hadis yang lain, Baginda SAW menyatakan bahawa doa orang yang berpuasa mustajab di sisi Allah SWT. Puasa merupakan amalan yang sangat istimewa. Ia amalan yang sangat disukai oleh Allah SWT sehinggakan pahala orang berpuasa hanya Allah SWT sahaja akan anugerahkan. Para malaikat sendiri tidak tahu berapa banyak pahala yang hendak dicatatkan. Ada sebuah hadis qudsi berbunyi, “puasa adalah milik Ku dan Akulah yang akan membalasnya”. Maka ia sangat sesuai dengan apa yang telah disebut oleh Baginda SAW yang bermaksud,

Ada tiga jenis perkara yang tidak akan ditolak oleh Allah SWT. iaitu doa orang yang berpuasa sampai berbuka, doa seorang pemimpin yang adil dan doa orang yang dianiaya.

(Hadis ini direkod oleh Termidzi)

Kami sering membayangkan bagaimana ibu bapa berpuasa Nabi Daud (nota: puasa selang sehari) yang mendoakan kejayaan cemerlang anak-anak mereka. Benar, ia bukan soal kejayaan akademik semata-mata. Allah ya Allah, wujudkah ibu bapa yang sebegini rupa? Ia sangat adil untuk mereka mengharapakan kejayaan cemerlang dengan mereka sendiri melakukan amalan terpuji di sisiNya.

Malah bayangkan pula bagaimana jika ibu bapa bangun setiap hari pada 1/3 malam tersisa beramal ibadat kepadaNya sambil mendoakan kejayaan anak-anak. Bukankah Allah secara jelas sudah menjanjikan sesuatu yang luar biasa berkaitan doa pada waktu ini?

Allah SWT turun ke langit dunia ketika 1/3 malam masih tersisa dan Allah menyeru: “Adakah antara hambaKu yang berdoa kepadaKu, supaya Aku mengabulkan permintaannya? Adakah antara hambaKu meminta ampun kepadaKu, supaya Aku mengampuninya? Adakah antara hambaKu yang meminta kepadaKu, supaya Aku memenuhinya?

(Hadis ini direkodkan oleh Iman Bukhari dan Muslim)

Ia sungguh menarik memperkatakan peranan dan amalan doa yang boleh dimanfaatkan dalam membentuk pelajar cemerlang. Sungguh, ia berangkai-rangkai di antara satu ibadat dengan ibadat yang lain. Akhirnya, pelajar cemerlang – sememangnya – dilahirkan oleh ibu bapa yang cemerlang. Malah Allah SWT menyatakan secara tegas melalui al-Quran yang bermaksud,

Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang  Aku, maka (jawablah), sesungguhnya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa kepadaKu, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah) Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.

(Petikan surah al-Baqarah ayat 186).

Allah SWT tersangat dekat dengan hambaNya. Cuma Dia mahu hambanya mematuhi setiap suruhan dan meninggalkan segala laranganNya. In sya Allah, doa-doa yang dipohon oleh ibu bapa agar anak-anak cemerlang dimakbulNya. Moga Allah memberi kita ilham untuk mendidik anak-anak agar seimbang kehidupan mereka di dunia dan akhirat. Kami fikir, tidak perlulah mengupah orang untuk berdoa atau mengharapkan air tawar tanpa kita sendiri memohon kepadaNya.
 Masya Allah, Subhanallah, Allahu Akbar.

MUTIARA KATA

Doa mustajab tidak kerana lokasi. Berdoalah di mana sahaja – In sya Allah – Dia Maha Mendengar. Allah tidak memerlukan parameter atau pengantara untuk menerima dan memakbulkan doa. Yakinlah ... Allah itu sangat hampir sehingga hampir itu tidak menunjukkan jarak.
(MKI)

Doa memberikan kekuatan pada orang yang lemah, membuat orang tidak percaya menjadi percaya dan memberikan keberanian pada orang yang ketakutan.
(Tidak diKetahui)

No comments:

Al Ihsan Training and Motivation

Al Ihsan Training and Motivation
Menyediakan perkhidmatan perundingan, ceramah, forum, diskusi, seminar, motivasi, latihan, kepimpinan, kaunseling untuk semua lapisan individu seperti pelajar, pekerja, ibu bapa, guru dan lain-lain.